Peserta Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mula memenuhi pekarangan Masjid Jamek, sini sejak jam 12 tengah hari. Himpunan yang setakat ini dihadiri kira-kira 1,500 orang anjuran Pemuda UMNO dan Pemuda Pas itu dijangka akan menerima lebih ramai peserta.

Antara pemimpin yang hadir adalah Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Peserta perhimpunan dijangka akan berarak ke Jalan Tunku Abdul Rahman bagi membawa mesej bantahan terhadap ICERD. Kehadiran peserta terbabit mewakili pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ,Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan beberapa kelab permotoran.

Mereka dilihat memegang beberapa sepanduk termasuk ‘ICERD adalah Malayan Union 2.0’ dan ‘Jangan Jual Kedaulatan Negara’ sambil melaungkan ‘Bantah ICERD’ serta ‘Allahuakbar’. Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator, P Waytha Moorthy dipetik berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk melaksanakan ICERD pada suku pertama tahun depan. Katanya, komitmen itu bukan hanya daripadanya sendiri, malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof.