Peristiwa

Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong

By 23 February, 2010 December 9th, 2018 No Comments

Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong adalah merupakan satu kejadian serangan kejam komunis yang telah berlaku berlaku semasa era darurat di Persekutuan Tanah Melayu. Kejadian tersebut adalah merupakan pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia.

Dalam kejadian yang bermula kira-kira pukul 4.15 pagi tersebut, sekitar 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan menentang segerombolan 180 orang komunis sehingga seorang demi seorang gugur. Dalam kejadian tragis tersebut terdapat dua orang isteri anggota Polis Marin turut mengangkat senjata berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru. Akhirnya, 17 orang anggota polis terkorban dan hampir 40 orang komunis telah dibunuh.

Kejadian ini telah bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis mula melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik Komunis membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Pada mulanya Komunis menyangka  akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat berdasarkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka iaitu:

  1. Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan
  2. Keadaan balai polis yang terpencil

Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai Sarjan Jamil mohd Shah yang baru sahaja menggantikan Sarjan Ray Dancey. Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.

Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Serangan Bermula

Pada awal pagi hari tersebut sekitar 180 orang pengganas komunis Kompeni Bebas ke-4 diketuai oleh Muhammad Indera, Komunis Melayu dan Komisser Goh Peng Tun telah mengepung kawasan Balai Polis Bukit Kepong. Separuh daripada mereka telah mengepung bahagian hadapan manakala selebihnya mengelilingi kawasan balai.
Pertempuran bermula sekitar 4.15 pagi apabila SC Jaffar mencabar dan menembak seorang anggota komunis yang cuba memotong kawat duri. Bermula daripada itu pengganas komunis mula melancarkan serangan dari segenap penjuru terutamanya dari bahagian hadapan. Pihak polis memberikan tentangan yang hebat terutamanya daripada kedudukan 2 Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah balai polis.

Anggota polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil enggan menyerah walaupun berkali-kali pihak komunis menyeru supaya menyerah diri. Serangan yang berterusan telah menyebabkan beberapa anggota polis telah terbunuh. 2 orang isteri anggota polis turut sama berjuang apabila mendapati suami mereka telah terkorban.

Sekitar pukul 0500 pagi pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan shotgun digerakkan dari Kampong Jawa di bawah pimpinan Penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk memberi bantuan. Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran dikawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Bren Gun turut dimusnahkan komunis.

Sekitar pukul 7 pagi pihak komunis menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Mata-Mata Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Mata-Mata Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.

Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek kelamin. Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.

Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Mata-Mata Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.

14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.

Mereka yang terselamat

Anggota Polis
  1. Mata-Mata 10533 Othman bin Yusoff (meninggal);
  2. Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud (meninggal);
  3. Mata-Mata Tambahan 3472 Ahmad bin Khalid (meninggal);
  4. Mata-Mata 7645 Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)
Ahli keluarga anggota
  1. Mariam binti Ibrahim – isteri Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  2. Zainun binti Muhamad – anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  3. Abu Samah bin Muhammad – anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  4. Zaleha binti Muhamad- anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  5. Jamilah binti Abu Bakar – anak perempuan Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
  6. Hussain bin Abu Bakar- anak lelaki Mata-Mata 37 Abu Bakar bin Daud
  7. Fatimah binti Abdul Manan @ Timah Lawa – isteri Mata-Mata Hassan Osman
  8. Pon binti Khalid – isteri Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
  9. Fatimah binti Tuani – isteri Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
  10. Edmund Ross Williams Hunt – orang asli bertugas sebagai pemandu arah

Mereka yang gugur dalam pertempuran

Anggota Polis
  1. Sarjan 2493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Balai Bukit Kepong)
  2. Koperal 7068 Mohd Yassin bin Haji Wahab (Timbalan Ketua Balai Bukit Kepong)
  3. Lans Koperal 7186 Jidin bin Omar
  4. Mata-Mata 9136 Hassan bin Osman
  5. Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
  6. Mata-Mata 8600 Jaafar bin Hassan
  7. Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  8. Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
  9. Mata-Mata 7862 Abu Kadir Jusoh
  10. Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
  11. Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
  12. Mata-Mata Marin 181 Basiron bin Adam
  13. Mata-Mata Tambahan 3475 Mohd Top bin Lazim
  14. Mata-Mata Tambahan 3795 Jaafar bin Arshad
Polis Bantuan / Auxiliary Police
  1. AP 2130 Samad bin Yatim
  2. AP 1912 Mahmud bin Sa’at
  3. AP 1925 Ali bin Akob
  4. AP 2127 Othman Yahya
Keluarga Anggota
  1. Fatimah binti Yaaba – isteri Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
  2. Hassan bin Abu Bakar – anak Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
  3. Saadiah – isteri Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
  4. Simah binti Abu – anak Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
  5. Arafah binti Yusoff – isteri Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis
  1. AP 2098 Redzuan bin Alias
  2. Embong bin Lazim
  3. Mendiang Koh Ah Cheng
Admin

Admin

Masa depan yang lebih baik terbina dari serpihan-serpihan sejarah silam yang kelam dan cerah. Dari serpihan-serpihan tersebut terbinalah laluan yang teguh bagi mereka-mereka yang mengerti.

Leave a Reply